Tuesday, March 3, 2015

Kemahiran proses sains

Kemahiran proses sains (KPS) membolehkan murid mempersoalkan tentang sesuatu perkara dan mencari jawapan secara bersistem. Penerangan tentang setiap kemahiran proses sains adalah seperti : 1. Memerhatikan Menggunakan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa atau bau untuk mengumpulkan maklumat tentang objek dan fenomena. 2. Mengelaskan Menggunakan pemerhatian untuk mengasing dan mengumpulkan objek atau fenomena berdasarkan ciri yang sama. 3. Mengukur menggunakan nombor Membuat pemerhatian secara kuantitatif dengan menggunakan nombor atau alat berunit piawai atau alat yang diseragamkan sebagai unit rujukan. 4. Membuat inferens Membuat kesimpulan awal yang munasabah, yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian. 5. Meramalkan Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau berdasarkan data. 6. Berkomunikasi Menerima, memilih, menyusun dan mempersembahkan maklumat atau idea dalam bentuk tulisan, lisan, jadual, graf, rajah atau model. 7. Menggunakan perhubungan ruang dan masa Memerihalkan perubahan parameter seperti lokasi, arah, bentuk, saiz, isipadu, berat dan jisim dengan masa. 8. Mentafsirkan data Memberi penerangan yang rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada data yang dikumpulkan. 9. Mendefinisikan secara operasi Memberi tafsiran tentang sesuatu konsep dengan menyatakan perkara yang dilakukan dan diperhatikan. 10. Mengawal pemboleh ubah Mengenal pasti pemboleh ubah dimanipulasikan, pemboleh ubah bergerak balas dan pemboleh ubah yang dimalarkan. Dalam sesuatu penyiasatan satu pemboleh ubah dimanipulasikan untuk memerhatikan hubungannya dengan pemboleh ubah bergerak balas. Pada masa yang sama pemboleh ubah yang lain dimalarkan. 11. Membuat hipotesis Membuat suatu pernyataan umum tentang hubungan antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Pernyataan ini boleh diuji untuk menentukan kesahihannya. 12. Mengeksperimen Merancang dan menjalankan penyiasatan untuk menguji sesuatu hipotesis, mengumpulkan data, mentafsirkan data sehingga mendapat rumusan daripada penyiasatan itu. Sumber: Spesifikasi Kurikulum Sains Tahun 4, Bahagian Perkembangan Kurikulum, KPM 2012 http://www.moe.gov.my/bpk/index.php

No comments:

Post a Comment